Wednesday, June 22, 2016

REFLEKSI MINGGUAN OLEH AMIRUL ASYRAFF - DARI SEGREGASI KE INTEGRASI

Posted by asy  |  at  12:37 PM

1.0 Pengenalan

Sejarah dan asal-usul sesuatu etnik telah membuktikan bahawa segregasi etnik ini sudah berlangsung sejak sekian lama tanpa kehadiran pihak penjajah Barat. Pola segregasi ini tetap terjadi kerana atas alasan faktor amalan budaya, amalan nilai, kegiatan ekonomi dan faktor agama. Ini dapat dilihat daripada pola taburan suku kaum masyarakat di Malaysia khususnya yang hidup secara berkelompok berdasarkan budaya, amalan nilai, kegiatan ekonomi dan kepercayaan yang sama di sesuatu tempat.

Segregasi merujuk kepada pemisahan atau pengasingan antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain dalam sesebuah negara. Pemisahan itu berlaku dalam beberapa keadaan seperti kawasan tempat tinggal, jenis pekerjaan, sistem persekolahan dan penerbitan akhbar mengikut bahasa ibunda masing-masing.

Malaysia lebih mengutamakan integrasi dalam usaha memupuk perpaduan rakyat di negara ini. Integrasi diertikan sebagai satu proses penyesuaian bersama pelbagai kebudayaan dan ciri-ciri sosial yang dapat diterima oleh semua kelompok etnik. Identiti, budaya dan hak hidup sesuatu kumpulan etnik tidak dihapuskan, tetapi disuburkan. Dalam konteks Malaysia, integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan etnik yang terpisah-pisah dari segi budaya, agama, sosial dan kawasan penempatan.

Sejak merdeka lagi, kerajaan Malaysia telah memupuk semangat perpaduan dalam memakmurkan negara kita. Pelbagai dasar telah dijalankan untuk mencapai proses perpaduan ini. Tanpa perpaduan, kemajuan negara yang ingin dicapai untuk Wawasan 2020 tidak mungkin akan menjadi kenyataan kerana kerjasama diperlukan untuk menjana kemajuan.

Perubahan pembangunan yang pesat di Malaysia telah mengubah sedikit senario pola taburan etnik. Dasar kerajaan yang sangat progresif ke arah meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup yang lebih baik kepada rakyat, telah membantu mempercepat mengurangkan segregasi mengikut etnik secara nyata terutamanya di kawasan-kawasan bandar. Walau bagaimanapun, perubahan mekanisme ini tidak selalunya berjalan lancar dan sentiasa ada pengaruh lain yang boleh menyeragamkan semula keadaan seperti sedia kala. Kekuatan-kekuatan dari segi aspek ekonomi, sosial dan politik boleh menjadi faktor penentu kepada pembentukan segregasi etnik moden.Kertas kerja ini memfokuskan tentang perubahan yang berlaku dari segrasi ke integrasi dalam kalangan etnik Malaysia.

1.1 Objektif 

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap pemahaman masyarakat terhadap konsep “Dari Pengasingan ke Penyatuan” di Malaysia terutamanya dalam kalangan pelajar. Selain itu kajian ini juga menghuraikan dasar-dasar kerajaan dalam konsep segregasi dan intergrasi dalam konteks hubungan etnik di Malaysia serta menganalisis penerimaan budaya di Malaysia serta impak integrasi dalam masyarakat dari segi penerimaan terhadap budaya yang berbeza.


2.0 Sorotan

Terdapat banyak kajian mengenai mengupas tentang isu “Dari Segregasi ke Integrasi.” Kajian ini dijalankan di beberapa tempat oleh beberapa pihak yang berbeza. Antaranya ialah Rosernberg dan Simmons (1972) seperti yang dipetik daripada Wylie et al. (1979) telah memberikan beberapa situasi untuk menjelaskan bahawa integrasi itu boleh merendahkan harga kendiri orang kulit hitam; iaitu orang kulit hitam akan mengalami lebih penghinaan sekiranya mereka bersekolah di sekolah campuran. Prestasi pelajaran orang kulit hitam lebih rendah berbanding orang kulit putih di sekolah campuran walaupun sebenarnya mereka cenderung untuk mencapai prestasi yang lebih baik di sekolah segregasi. Memasuki sekolah campuran, orang kulit hitam akan menghadapi situasi di mana nilai-nilai dan tingkah laku kaum mereka direndahkan sedangkan mereka telah menerima nilai dan tingkah laku tersebut sebagai sesuatu yang benar dan boleh dikagumi. Pengintegrasian akan menyedarkan kanak-kanak kulit hitam itu tentang status sosioekonomi keluraganya yang biasanya berada pada tahap yang rendah.

Kajian yang dijalankan oleh Bachman (1970) juga mendapati estim kendiri kanak-kanak kulit hitam di sekolah segregasi adalah lebih tinggi berbanding kanak-kanak kulit putih dan juga kanak-kanak kulit hitam yang bersekolah di sekolah campuran. Beberapa kajian lain yang dijalankan oleh penyelidik seperti Harootunian (1968), Crain dan Weisman (1972) serta Hughes dan Works (1974) turut membuktikan bahawa proses segregasi tidak akan merosakkan konsep kendiri seseorang individu sebaliknya integrasi yang boleh memberi kesan buruk kepada estim kendirinya. Namun demikian ingin ditegaskan di sini, kesan integrasi dan segregasi ke atas konsep kendiri ini mungkin juga dipengaruhi oleh pembolehubah-pembolehubah yang lain. Kajian-kajian yang dijalankan oleh para penyelidik sebelum ini kurang memberi perhatian kepada aspek tersebut.

Amir Hassan Dewi (2002) dalam Penteorian Sosiologi dan Pendidikan telah menyatakan segregasi atau pengelompokkan etnik merupakan satu keadaan yang biasa di mana-mana tempat di muka bumi. Keadaan ini bukan sahaja berlaku dalam kehidupan manusia, akan tetapi boleh berlaku secara tidak sengaja pada kehidupan lain seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Pola taburan seperti ini merupakan satu corak dan strategi hidupan secara semula jadi untuk membolehkan hidup bertahan dalam satu komuniti yang kukuh. Segregasi bermaksud pemisahan atau pengasingan kumpulan etnik dengan etnik yang lain dalam sesebuah negara sama ada disebabkan oleh kawasan kediaman, sistem persekolahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Segregasi juga dimaksudkan sebagai hubungan yang bersifat pemisahan di antara etnik-etnik di dalam sesebuah negara.

Amidah Hamim (2001) menyatakan tentang dasar-dasar yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan seperti Dasar Wawasan Negara (DWN ialah mencapai perpaduan nasional, pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, penyusunan semula masyarakat dan pembangunan seimbang menerusi pembangunan alam sektor yang mapan untuk meneguhkan pertumbuhan jangka panjang. DWN akan merangkumi teras kritikal seperti berikut; membina bangsa yang berdaya tahan dengan memupuk perpaduan, menyemarakkan semangat patriotik, membentuk kematangan politik, membina masyarakat supaya lebih bertolak ansur dan penyayang juga tersemat dengan nilai positif, dan meningkatkan kualiti hidup dan keutuhan ekonomi. Selain itu, bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dengan memperkukuhkan sumber pertumbuhan, institusi kewangan dan korporat serta pengurusan ekonomi makro. Dasar ini juga penting untuk mempertingkatkan daya saing untuk menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi serta membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan sebagai satu langkah strategik untuk meningkatkan nilai ditambah bagi semua sektor ekonomi dan mengoptimumkan daya pemikiran rakyat. Juga mengukuhkan pembangunan sumber manusia untuk menghasilkan tenaga kerja yang cekap, produktif dan berpengetahuan.

Di samping itu, berdasarkan blog Sabree Hussin yang telah ditulis pada 11 Oktober 2009 menyatakan bahawa kepelbagaian etnik sama ada secara langsung atau tidak, memainkan peranan penting dalam hubungan etnik di Malaysia. Berdasarkan kepelbagaian inilah, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dan program bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat. Antara langkah penting yang diambil ialah menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kerajaan juga telah bertindak secara aktif dengan menubuhkan Majlis Penasihat Perpaduan Negara pada peringkat pusat dan Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Negeri pada peringkat negeri. Penubuhan majlis ini bertujuan membincangkan isu-isu perpaduan kaum di Malaysia secara harmoni dan tidak menggugat kestabilan politik yang sedia ada. 

Kerajaan juga telah memperkenalkan pelbagai dasar termasuk Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pendidikan Kebangsaan untuk memupuk perpaduan nasional. Tambahanya lagi, keharmonian hubungan etnik di Malaysia dapat dilihat dalam setiap lapisan masyrakat melalui rumah terbuka, penerimaan budaya antara etnik dan perkongsian kuasa politik. Sebagai contoh, hubungan etnik yang harmonis di Melaka dibuktikan lagi dengan jelas hingga kini melalui seni bina Masjid dan rumah ibadat lain. Masjid Kapitan Kling dan Masjid Tengkera misalnya, mempunyai gabungan seni bina Cina, Melayu, Arab dan India. Masjid-masjid yang dibina pada zaman Kesultanan Melayu Melaka adalah unik iaitu mempunyai menara berunsurkan pagoda dan ukiran campuran bermotif tempatan, Arab dan India serta Cina.

Berdasarkan sebuah blog yang telah ditulis oleh Tokich New Press daripada laman web wordpress.com menyatakan bahawa Malaysia telah berjaya melangkah keluar daripada kumpulan negara mundur kepada negara sedang membangun. Kini, Malaysia bergerak menuju ke arah status negara maju, seperti yang dicita-citakan dan dinyatakan dalam Wawasan 2020. Pergerakan daripada negara mundur kepada negara sedang membangun berlaku dalam tempoh 50 tahun (1957-2007). Antara program yang dapat mengeratkan hubungan etntik di Negara Malaysia adalah Program Citrawarna Malaysia, persembahan dari segi kebudayaan, tradisional dan kesenian dalam bentuk tarian dan muzik yang menarik dan penuh keunikan dianjurkan secara besar-besaran. Dalam program ini, lebih seribu peserta dari seluruh Malaysia akan menyertai persembahan untuk menjayakan program ini. Peserta-peserta yang datang dari berbilang kaum dan berlainan latar belakang, menunjukkan kesenian kebudayaan masing-masing dan mereka juga dapat mempelajari seni kebudayan kaum lain dan ini akan meningkatkan semangat perpaduan kaum-kaum di Malaysia. Selain itu, melalui program Citrawarna rakyat berbilang kaum yang hadir turut boleh berkomunikasi dan mengeratkan hubungan etnik. Citrawarna juga dikenali sebagai “Colours of Malaysia”, adalah persembahan yang berfokus dalam kebudayaan dan kesenian tradisional Malaysia. Contohnya, muzik dan tarian. Persembahan itu termasuk Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain agama di Malaysia dengan pelbagai jenis kebudayaan daripada kaum yang berlainan. Persembahan ini dijalankan dengan lancar dan menarik ramai penonton dan sekaligus dapat menunjukan etnik di Malaysia kepada pelancong luar negara.

Tagged as:
About the Author

Write admin description here..

0 comments:

Powered by Blogger.